Translate

Kamis, 20 Desember 2012

Memuliakan Ilmuan, Orang Tua dan Orang Mulia

Sudah beberapa hari jemaah tabligh berada di surau berkenaan. Kehadiran mereka tidak begitu dihiraukan oleh AJK surau mahupun jemaah yang hadir bersolat. Bagaimanapun jemaah tabligh tersebut tetap bertaskil seperti biasa walaupun hanya sesama mereka. Mereka turut membersihkan kawasan luar dalam surau dan kolah yang ada. Dalam kumpulan tabligh tersebut, ada seorang 'karkun' (panggilan untuk jemaah tabligh) yang sudah lanjut usia. Usianya lebih 80 tahun. Dia biasanya akan duduk di belakang sementara menunggu solat berjemaah. Dan seperti biasa, tiada jemaah tempatan yang datang bersolat di surau berkenaan mengendahkannya.

Satu hari, ada majlis ilmu oleh seorang Ustaz di surau tersebut selepas solat Maghrib. Ustaz yang diundang itu telah berada di surau tersebut lebih awal untuk mengimamkan solat Maghrib terlebih dahulu. Sebaik iqamah dilaungkan dan Imam (Ustaz tersebut) menoleh ke arah makmum dibelakangnya untuk merapatkan saf, dia terpandang "karkun" tua itu. Dia kemudian menuju ke arahnya dan memimpin tangan "karkun" tua itu ke sejadah Imam. Jemaah yang lain terpaku memerhatikan tindakan Ustaz tersebut. "Karkun" tua itu tidak membantah dan mengimamkan solat Maghrib malam itu dengan baik. Bila mendengar bacaan surah yang dibacanya...tertanya-tanya siapakah "karkun" tua ini sebenarnya. Dia ni bukan calang-calang orang . Dia pasti telah biasa menjadi Imam.

Dalam Kitab Riyadus Solihin Edisi Terjemahan (Imam Nawawi) Bab 43:Memuliakan Ilmuan, Orang Tua dan Orang Mulia:-

Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam berkata, "Bagi sesuatu kaum, orang yang berhak menjadi imam sembahyang adalah sesiapa yang terbaik bacaan Al-Qurannya dan sudah lebih lama membacanya. Apabila semua jemaah di situ sama baik bacaan Al-Qurannya, pilih siapa yang lebih awal pergi berhijrah. Apabila semua sama-sama awal hijrahnya, pilih yang paling tua".

Abu Mas'ud berkata, "Sewaktu hendak sembahyang, Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam berkata sambil menyentuh bahu-bahu kami, "Luruskan barisan, jangan bengkang-bengkok. Apabila barisan tidak lurus, hati-hati saudara pun tidak lurus. Sesiapa yang berdiri di sebelah saya mestilah orang yang paling berumur. Kemudian diikuti oleh orang yang lebih muda". Direkodkan oleh Muslim.


Amru bin Syuaib melaporkan daripada ayahnya, daripada datuknya, katanya, "Nabi Muhammad menerangkan, "Tidak termasuk dalam golongan saya sesiapa yang tidak belas kepada orang kecil dalam kalangan kita. juga tidak termasuk dalam golongan saya sesiapa yang tidak memuliakan orang tua dalam kalangan kita." Direkodkan oleh Abu Daud dan Tirmizi. Tirmizi mengatakan, ini hadis hasan sahih.


P/S Walaupun sudah beberapa hari peristiwa yang berlaku di sebuah surau di Sg Petani ini terjadi, kesannya masih berbekas di hati Anim. Pertama, akhlak seorang Ustaz muda berilmu tinggi dengan seorang tua yang sekali pandang, dia bukan " sapa- sapa". Kedua, akhlak "karkun" tua yang merendah diri, tak menonjolkan diri. Benar...kita bersolat dalam satu saf, tetapi sedar tak antara kita dan orang disebelah kita berbeza di sisi Allah dari segi amalan dan ibadah. Mungkin antara kita dan dia, ibarat bumi dan langit. Moral of the story, jangan pandang orang sebelah mata . Wallahua'lam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Terima Kasih